
Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Pada tahun yang lalu, kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy. Persoalannya apakah faedah jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti bersukan?
Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin. Hal ini demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatih. Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turut membentuk disiplin murid tersebut.

Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya belajar. Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.

Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain permainan komputer dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berpeleseran di pusat beli-belah, menonton televisyen dan berbual-bual kosong. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat.

Izharnya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawa faedah kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan. Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.
+ comments + 4 comments
Tidak menepati ciri-ciri karangan
Terima kasih untuk karangan ini anda telah menolong saya dalam membuat karangan dan kerja rumah
Terima kasih ianya agak membantu sekali untuk saya membuat karangan
good
Post a Comment